Mengabaikan toma'ninah & tidak mengambil berat melurus dan memenuhkan saf solat.
1.
Mengabaikan toma’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat
seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh
kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu
dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya.
Pernah
seorang lelaki bersolat tanpa toma’ninah pada zaman Rasulullah saw.
Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk
mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu
menunjukkan toma’ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang
meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih atau selainnya,
adalah tidak sempurna.
2. Tidak mengambil berat tentang melurus dan
memenuhkan saf solat. Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan
Rasulullah saw telah memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna
dalam sabdanya:
لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُم .
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan tukarkan
wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu).” [HR
Bukhari].
Sabda Baginda saw lagi:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu, kerana saf yang lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat.” [HR Bukhari].
Berdasarkan perbincangan di atas, sama-samalah kita jadikan solat
terawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilaksanakan
berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti.
No comments:
Post a Comment